SEMOP: Program Kempen Kesedaran Awam (CEPA) bersama komuniti di kawasan tanah lembap Hutan Simpan Kekal Paloh menjadi platform penting dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat berhubung cadangan pencalonan tapak Ramsar baharu di Sarawak serta pengetahuan berkaitan penguatkuasaan dan kesalahan di bawah undang-undang hutan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, berkata pengiktirafan tanah lembap sebagai tapak Ramsar bukan sahaja bertujuan memulihara biodiversiti, malah menjamin pembangunan sosioekonomi yang lestari melalui prinsip penggunaan berhemat tanah lembap.
“Pemeliharaan tanah lembap amat penting bagi memastikan bekalan sumber makanan dan pendapatan komuniti tempatan terus terpelihara.
"Kawasan ini juga memainkan peranan utama dalam mengawal bencana alam seperti banjir dan hakisan serta bertindak sebagai kawasan simpanan karbon untuk menangani perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program CEPA 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan di Dewan Kampung Paloh, pada Khamis.
Datuk Abdullah turut menegaskan bahawa kelestarian alam sekitar merupakan tunjang utama pembangunan negeri Sarawak, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) ke arah menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Tambahnya, inisiatif berkaitan tanah lembap dan kawasan tadahan air merupakan antara empat komponen utama di bawah sektor perhutanan PCDS yang telah diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC).
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan projek ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk JHS, agensi berkaitan, pemegang taruh serta komuniti setempat.
Perasmian Program CEPA 2025 itu sekali gus menandakan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam usaha melindungi khazanah alam semula jadi negeri ini demi kesejahteraan generasi akan datang.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir. Yusuf Abd Wahab, Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Happysupina Sait, Ketua Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan, Roslan Othman,,Wakil Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Rufus Jonathan Alex serta Pegawai Hutan Wilayah Sarikei, Ali Lee.-EDISI UKAS