Budaya Politik Sarawak Matang & Beretika

Disiarkan pada 17 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Budaya politik di Sarawak disifatkan matang dan berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia, khususnya dalam aspek penghormatan terhadap kepimpinan serta amalan politik yang beretika.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, struktur hierarki politik di Sarawak sentiasa dipelihara dengan adab dan rasa hormat yang tinggi terhadap pemimpin, tanpa wujud unsur perebutan kuasa secara tidak beretika.

Tegas beliau, budaya politik Sarawak adalah berasaskan adab, hormat dan kematangan tanpa mencetuskan perpecahan dalam parti.

“Saya tidak nampak ada apa-apa masalah. Di Sarawak, kita sentiasa ada rasa hormat terhadap pemimpin, terutama mereka yang berada lebih tinggi dalam hierarki politik.

"Itulah yang saya perhatikan sejak sekian lama,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semasa sidang media Kuching Half Marathon Heritage Run 2025, di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut membandingkan keadaan politik Sarawak dengan negeri-negeri lain yang kadangkala menyaksikan tindakan menjatuhkan pemimpin secara paksa demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

“Kami mempunyai budaya politik yang berakar umbi, di mana pemimpin akan terus memimpin sehingga mereka sendiri bersedia untuk berundur dan memilih pengganti yang sesuai. Ia berlaku secara tertib,” katanya.

Beliau turut menafikan sebarang spekulasi mengenai kewujudan konspirasi dalaman untuk menjatuhkan calon-calon sedia ada menjelang pilihan raya akan datang.-EDISI UKAS