MPKS Anjur Gotong-Royong Perangi Aedes Bersama Komuniti Asajaya

Disiarkan pada 17 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Asajaya dan komuniti setempat telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perangi Aedes Zon Asajaya yang berlangsung di sekitar Pekan Asajaya, hari ini.

Program tersebut turut disertai Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Timbalan Pengerusi MPKS, Daily Joseph, wakil-wakil dari agensi kerajaan berkaitan serta penduduk setempat.

Menurut Abang Ismawi, program gotong-royong ini dianjurkan susulan laporan kes demam denggi yang berlaku di sekitar Pekan Asajaya yang dipercayai berpunca daripada keadaan persekitaran yang kotor dan tidak terurus.

“Melihat kepada tahap kebersihan yang kurang memuaskan, pihak MPKS mengambil inisiatif menganjurkan program ini sebagai langkah segera.

“Ia bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan kawasan, tetapi juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjaja dan penduduk agar lebih prihatin terhadap aspek kebersihan,” katanya semasa ditemui wakil UKAS.

Beliau turut menegaskan bahawa penularan wabak denggi bukan sahaja mengancam kesihatan awam, malah boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat khususnya kepada para penjaja.

“Apabila sesuatu kawasan dikenali sebagai zon wabak denggi, secara tidak langsung ia akan menjejaskan kemasukan pelanggan dan pengunjung dari luar. Keadaan ini boleh menurunkan pendapatan peniaga tempatan.

“Oleh itu, penjaja perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran tempat perniagaan mereka sentiasa bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes,” jelas beliau lagi.

Program ini turut menyaksikan sesi libat urus MPKS bersama para penjaja tempatan bagi membincangkan langkah-langkah pengurusan sisa buangan, penyelenggaraan sistem perparitan serta amalan kebersihan yang lebih sistematik demi kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS