KUCHING: China merupakan rakan perdagangan utama Sarawak dengan merekodkan jumlah eksport sebanyak RM18.8 bilion pada tahun 2023.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, nilai eksport itu merangkumi pelbagai sektor termasuk gas asli cecair, minyak masak dan logam.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu memberitahu, jumlah import antara Sarawak dengan China pada tahun sama adalah berjumlah RM9.9 bilion merangkumi jentera, barangan perkilangan dan produk pengguna.
"Hubungan pembangunan ekonomi Sarawak bersama China didorong oleh perdagangan, pelaburan dan projek kerjasama yang kukuh merentas sektor.
"Malah, kerjasama ekonomi antara China dan Sarawak terus berkembang dengan penglibatan China dalam pembangunan tenaga hidro iaitu Bakun, Murum dan Baleh yang menyokong matlamat kita untuk menjadi kuasa besar ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Malaysia-China Summit 2024: Networking Engagement Series in Sarawak di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Persidangan Malaysia-China Summit 2024 akan diadakan pada 17 hingga 19 Disember ini di Kuala Lumpur.
Jelasnya, ia bakal menjadi platform untuk Sarawak mengukuhkan lagi kerjasama sosio-ekonomi dengan China.
“Sidang kemuncak ini dijangka menghimpunkan seramai 500 peserta pameran dan 10,000 delegasi perdagangan dari China, Malaysia dan ASEAN yang akan memberikan pandangan strategik untuk meneroka prospek baharu dan pengembangan pasaran,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, He. Xing Weiping dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS