KUCHING: Malaysia terus memperkukuh komitmen untuk menghapuskan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang tahun 2030, selari dengan agenda kesihatan global.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, negara telah mencatat kemajuan yang memberangsangkan dalam respons nasional terhadap HIV menerusi pencapaian rawatan semasa bagi tahun 2024.
“Sebanyak 64 peratus individu yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka; daripada jumlah itu, 94 peratus menerima rawatan, manakala 93 peratus daripada mereka berjaya mencapai tahap penindasan virus.
“Namun, jurang terbesar masih terletak pada aspek pengesanan awal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Perasmian Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral (ARV) Mampu Milik dan Bengkel Memperkasakan Ujian Komuniti untuk Populasi Utama yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.
Dato Lukanisman turut menegaskan bahawa pendekatan yang lebih inovatif dan bersasar amat diperlukan untuk meningkatkan kadar diagnosis, khususnya dalam kalangan populasi utama yang berisiko tinggi.
“Salah satu strategi yang terbukti berkesan ialah pelaksanaan ujian berasaskan komuniti (CBT), yang dikendalikan oleh komuniti sendiri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diyakini,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Program PrEP Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 2023 dan kini dilaksanakan di 35 buah klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu kelestarian kewangan dalam usaha memerangi HIV, khususnya berikutan penyusutan sokongan dana antarabangsa termasuk daripada Global Fund dan PEPFAR.
“Dalam konteks ini, akses kepada ubat ARV generasi baharu yang mampu milik seperti Dolutegravir (DTG) dan Tenofovir-Lamivudine-Dolutegravir (TLD) adalah amat penting untuk diteruskan.
“Kita perlu meneroka pendekatan baharu termasuk pelesenan sukarela dan pembelian secara berkelompok melalui mekanisme serantau seperti Medicines Patent Pool,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari negara-negara ASEAN serta rakan kerjasama antarabangsa, dan menyifatkan platform tersebut sebagai peluang penting untuk mengukuhkan solidariti serantau dalam menangani isu HIV dan AIDS.
“Dialog ini bukan sahaja memperkasa kerjasama strategik, malah membuka ruang kepada negara anggota untuk berkongsi pengalaman, inovasi dan pendekatan terbaik ke arah mencapai matlamat bersama menamatkan AIDS di rantau ini,” tambah beliau.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak, serta turut disertai pelbagai pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara.-EDISI UKAS