ASSAR Umum Dividen Akhir Sebanyak 3 Sen Seunit, Jadikan Jumlah Keseluruhan Dividen 6 Sen Setakat 30 Jun 2025

Posted on 16 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) terus menunjukkan prestasi yang stabil dan memberangsangkan apabila mengumumkan dividen akhir sebanyak 3 sen seunit, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 sebanyak 6 sen seunit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengagihan dividen ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM28.76 juta kepada seramai 57,870 pelabur ASSAR di seluruh negeri ini.

“Pengagihan kali kedua ini, iaitu selepas pengagihan interim pada Januari lalu, akan melibatkan pembayaran sebanyak RM14.52 juta, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 30 Jun 2025.

“Ini juga menunjukkan lebihan pendapatan sebanyak RM12 juta yang tersedia sebagai rizab bagi menampung pendapatan dana ASSAR untuk tempoh yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Dividen ASSAR bagi tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2025 di Hikmah Exchange pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, kejayaan tersebut dicapai hasil strategi pengurusan aset yang berhemat, meskipun berdepan cabaran pasaran yang tidak menentu.

Ini tambahnya menjadikan ASSAR kekal sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah, terutamanya dengan adanya mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan pelancaran Pejabat Bergerak ASSAR, satu inisiatif baharu bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.

“Dengan pelancaran pejabat bergerak ini, saya yakin lebih ramai rakyat akan mendapat akses lebih mudah kepada maklumat pelaburan dan perkhidmatan berkaitan dana ASSAR tanpa perlu hadir ke pejabat rasmi ASSAR di Kuching,” tambah beliau.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd, Amanah Saham Sarawak Berhad serta anak syarikat yang lain.-EDISI UKAS