Kerajaan Sarawak Pacu Sambungan Kemudahan Digital Luar Bandar

Disiarkan pada 24 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk memacu sambungan kemudahan digital di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar. 

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, peranan infrastruktur telekomunikasi dan pembekal telekomunikasi adalah amat penting sekali dalam membantu mencapai sambungan digital di seluruh negeri. 

 

Menurutnya, menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) merupakan satu komponen Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

 

“Ini adalah intervensi kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mempercepatkan ketersambungan digital di Sarawak,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Smart600 Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) di HIKMAH Exchange Event Centre di sini pada Jumaat. 

 

Dato Sri Julaihi berkata, sebanyak 600 menara SMART dirancang dibina di seluruh Sarawak dan sebanyak 512 menara telah siap dibina.

 

“Daripada jumlah 512 menara yang telah disiap dibina, 308 menara sedang berfungsi dan 247 menara telah menggunakan MOCN.

 

“MOCN merupakan satu pencapaian yang dapat mempercepatkan usaha kita untuk membolehkan agenda di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak dilaksana dengan berkesan,” ujarnya.

 

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang turut hadir berkata, MCMC dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk menyediakan dana sebanyak RM116 juta bagi membantu menara SMART600 dilengkapkan dengan MOCN enam hala. 

 

Dalam majlis sama, Dato Sri Julaihi yang mewakili Premier Sarawak telah menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bersama empat pengendali rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), UMobile Sdn Bhd (UMobile) dan YTL Communications Sdn Bhd (YTL). 

 

Beliau juga menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Maxis dan TM Technology Services Sdn Bhd bagi Domestic Roaming (DR) untuk menara SMART600. 

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Sudarnoto Osman dan dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS