KUCHING: Beberapa maklumat serta perkara-perkara yang berkaitan dengan adat Melayu dan hal ehwal Islam di Sarawak telah berjaya dikumpul semenjak Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu (LHEIAM) diaktifkan pada November tahun lepas.
Pengerusi LHEIAM, Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, pihaknya akan memperhalusi perkara tersebut menerusi beberapa siri penglibatan atau bengkel melibatkan pihak berkepentingan termasuk komuniti setempat bagi mengumpul lebih banyak maklumat sebelum mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Sarawak.
"Ini bukan untuk kepentingan orang Melayu sahaja, tetapi untuk hal ehwal Islam dan juga semua.
"Insya-Allah kita akan lakukan perkara ini secepat yang mungkin,"katanya semasa ditemubual media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Menurut Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim, pihaknya turut berbesar hati apabila Tun Dr Wan Junaidi sudi memberikan pandangan serta idea sebagai rujukan untuk terus bergerak ke hadapan.
"Kita sangat menghargai dan berterima kasih kepada Tun Dr Wan Junaidi yang telah memberi pandangan serta idea, oleh kerana kita sedia maklum beliau berlatar belakangkan seorang peguam dan juga pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen termasuk Yang Dipertua Dewan Negara.
"Maka pengalaman ini dan juga idea yang diberikan sangat sangat bermanfaat dan kita akan ambil sebagai tindakan kita seterusnya,"tambah beliau.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah ahli-ahli LHEIAM, Datuk Abdillah Abdul Rahim, Datu Dr. Sulaiman Husaini, Dr Wan Ali Tuanku Madhi dan Temenggong Chek Bujang, Penyelidik UNIMAS Profesor Madya Dr. Mohamad Suhaidi Salleh dan Profesor Madya Dr Dayang Afizzah Awang Merikan, Sekretariat LHEIAM Azuan Jemat, Muhammad Khatib Johari dan Norfazirah Kamil.-Edisi UKAS