Projek Naik Taraf Jalan Wong Soon Kai Dijangka Selesai Dalam Empat Bulan

Disiarkan pada 16 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kesesakan lalu lintas di Jalan Wong Soon Kai yang menjadi laluan utama penduduk Sibu dijangka dapat dikurangkan menerusi projek penambahbaikan jalan terbaharu oleh Majlis Perbandaran Sibu (SMC).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee berkata, projek itu melibatkan pembinaan satu lorong tambahan untuk membelok ke kanan sepanjang kira-kira 400 meter bagi mengurangkan kesesakan terutamanya di kawasan lampu isyarat yang menghubungkan Jalan Persekutuan dan Jalan Ling Kai Cheng.

“Jalan Wong Soon Kai memang terkenal dengan trafik yang sangat sibuk kerana menjadi laluan utama orang ramai pergi dan pulang dari tempat kerja. Kita sering melihat barisan kenderaan yang panjang terutama di persimpangan lampu isyarat ke Jalan Ling Kai Cheng.

“Justeru, terima kasih kepada SMC kerana mengambil inisiatif membina lorong tambahan belok kanan sepanjang 400 meter dengan kos kira-kira RM900,000.

“Langkah ini diyakini dapat membantu mengurangkan beban trafik di kawasan tersebut,” katanya semasa lawatan tapak ke projek berkenaan, pada Rabu.

Beliau menambah, projek tersebut dijangka dapat disiapkan dalam tempoh kurang daripada empat bulan berdasarkan kemajuan kerja yang berjalan lancar setakat ini.

“Selain itu, kita juga mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan langkah sama di Jalan Tek Siong, iaitu menambah satu lagi lorong belok ke kanan supaya ia dapat melengkapi projek di Jalan Wong Soon Kai.

“Saya percaya langkah ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut memaklumkan perkembangan projek menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng yang dijangka akan dimulakan pada Ogos ini.

“Mengenai Jalan Ling Kai Cheng, saya ingin maklumkan bahawa kita hanya menunggu satu lagi langkah berkaitan dengan pejabat residen.

“Sebahagian besar prosedur telah diselesaikan dan jika tiada halangan, projek ini akan dilaksanakan pada pertengahan Ogos atau dalam bulan Ogos,” jelasnya.

Beliau berharap semua pihak dapat bersabar dan memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran projek demi keselesaan orang awam pada masa hadapan. -EDISI UKAS