PUSA: Industri berasaskan nanas di kawasan Beting Maro kini dilihat bukan sekadar pertanian, malah berpotensi besar sebagai pemangkin ekonomi tempatan menerusi penghasilan produk bernilai tinggi termasuk tenunan daripada serat daun nanas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Betong Maro, Razaili Gapor berkata, usaha membangunkan rantaian produk nanas tidak akan terhenti setakat kursus pemprosesan semata-mata, sebaliknya akan diteruskan secara berperingkat dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Produk berasaskan nanas bukan sahaja untuk makanan, malah sangat bernilai tinggi di peringkat antarabangsa, terutamanya tenunan berasaskan benang dari daun nanas.
“Ini membuka peluang baharu kepada masyarakat, terutamanya belia, untuk menjana pendapatan,” katanya dalam Majlis Penutupan Kursus Memprosesan Produk Bukan Makanan Berasaskan Nanas, di Dewan Al Amin Beladin, Pusa pada Selasa.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan termasuk kursus tenunan keringkam dan songket yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk memperluas kemahiran dan pilihan ekonomi penduduk setempat.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penceramah serta peserta yang terlibat dalam kursus tersebut dan menyifatkan kesungguhan mereka sebagai langkah awal ke arah pembentukan ekosistem industri nanas yang mampan di kawasan itu.-EDISI UKAS