SERIAN: Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah menganjurkan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Serian Tahun 2025 pada Selasa.
Majlis tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian dan melibatkan penyertaan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, SABERKAS Cawangan Bukit Semuja, Kedup dan Tebedu, persatuan serta kelab belia di Bahagian Serian, selain agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan persidangan berkenaan.
Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap yang mewakili Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak atas penganjuran persidangan yang bertujuan mengangkat pelbagai usul dan cadangan berkaitan belia untuk dibincangkan bersama agensi kerajaan.
Menurut beliau, MPBN merupakan sebuah platform penting bagi perbincangan yang konstruktif dan inklusif dalam aspek pembangunan belia, selain menjadi saluran utama menyuarakan pandangan serta aspirasi golongan belia ke peringkat lebih tinggi.
Usul-usul yang dibahaskan dalam MPBN Peringkat Bahagian ini memberi keutamaan kepada isu dan keperluan belia setempat.
Justeru, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bersama rakan strategik dalam kalangan kelab dan persatuan belia di Bahagian Serian digesa untuk terus memainkan peranan proaktif bagi mengenal pasti isu-isu belia agar dapat diangkat kepada perhatian kerajaan.
Usaha ini secara langsung akan membantu melahirkan golongan belia yang berdaya saing dan progresif, sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030.
Tambah beliau, kekuatan sesebuah negara bergantung pada rakyat yang progresif dan produktif.
Beliau turut mengungkap mutiara kata sarjana, "Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya pada hari ini," serta mengimbas kata-kata bekas Presiden Indonesia, Sukarno, "Beri aku sepuluh pemuda yang kental, nescaya akan kugoncangkan dunia.".
Kenyataan ini, ujarnya, menggambarkan betapa pentingnya peranan golongan belia dalam membentuk masa depan negara. Belia hari ini bukan hanya pemimpin esok, tetapi wajar diperkasakan sebagai pemimpin masa kini.
Beliau turut berharap agar MPBN kali ini menjadi wadah terbaik bagi belia untuk berkongsi pandangan, maklumat dan idea demi matlamat bersama ke arah pembangunan negara yang mampan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau, barisan Exco SABERKAS Cawangan Bukit Semuja, Kedup dan Tebedu, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan wakil persatuan serta kelab belia Bahagian Serian.-EDISI UKAS