BAU: Tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bakal menikmati kemudahan dewan serbaguna baharu apabila sesi penyerahan tapak projek telah berlangsung di Kampung Opar, Kampung Pidilam Stenggang dan Kampung Sepadah pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, tiga projek berkenaan ialah Projek Pembinaan Baru Dewan Serbaguna Kampung Opar, Projek Pembinaan Baru Dewan Serbaguna Kampung Sepadah serta Projek Pembinaan Baru Dewan Serbaguna Kampung Pidilam Stenggang.
Menurut beliau, keseluruhan nilai projek mencecah RM1.1475 juta dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk dari aspek sosial, ekonomi dan kemudahan komuniti.
Billy merakamkan penghargaan kepada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau atas usaha berterusan memastikan pembangunan infrastruktur sampai ke kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan pentingnya projek-projek ini disiapkan mengikut jadual agar manfaatnya dapat dirasai secepat mungkin oleh penduduk setempat.
“Ini adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif, khususnya di kawasan pedalaman seperti DUN Opar,” ujarnya. -EDISI UKAS