GUANGZHOU: Usaha Sarawak untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang utiliti dan teknologi angkasa lepas diteruskan melalui siri lawatan kerja teknikal ke Guangzhou, Shenzhen dan Hainan, China yang bermula pada Isnin.
Delegasi Sarawak diketuai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi bersama barisan pegawai kanan Kementerian serta agensi berkaitan.
Lawatan yang berlangsung dari 14 hingga 18 Julai itu bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik, teknologi inovatif dan amalan terbaik global dalam sektor air, elektrik, telekomunikasi, dan industri angkasa lepas.
Antara lokasi penting yang dilawati termasuk Nansha Huangge Smart Water Treatment Plant, Stesen Kuasa Simpanan Pam Shenzhen, Wenchang International Aerospace City, dan Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA).
Delegasi juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan ketua jabatan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Delegasi telah melawat dua kemudahan utama di Guangzhou iaitu Guangzhou Nansha Nanyue Water: Huangge Water Treatment Plant Fasa II – Yuehai Kerong Smart Water, serta Guangzhou Lijiao Sewerage Water Treatment Plant, yang merupakan antara kemudahan termaju dalam rawatan air pintar di China.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi dalam kenyataan media berkata, lawatan ini memberikan pendedahan berharga mengenai bagaimana teknologi pintar, automasi dan reka bentuk bersepadu diaplikasikan untuk mewujudkan sistem bekalan air bandar yang mampan dan cekap.
“Lawatan kerja teknikal ini adalah sebahagian daripada komitmen Kementerian untuk meneroka amalan terbaik antarabangsa serta teknologi terkini dalam bidang bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi dan industri angkasa lepas.
"Kami berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi atau syarikat berkaitan di Guangzhou, terutamanya dalam bidang pembinaan kapasiti, projek perintis bersama, serta penerimaan teknologi canggih,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan membuka peluang baharu untuk memperkukuh keupayaan teknikal dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan utiliti di Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Antara delegasi Sarawak yang menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato’ Ibrahim Baki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) Grace Huong Siew, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power Ir. Bunyak Lunyong serta pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan. -EDISI UKAS