MIRI: Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap larangan merokok di tempat awam terus diperkasa melalui program “Mobile Service 2U” anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, pada Sabtu.
Program yang diketuai oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menyasarkan beberapa medan selera di kawasan Riam sebagai lokasi libat urus bersama komuniti setempat.
Dato Sri Lee berkata, pendekatan secara langsung ini penting dalam memahami keperluan komuniti dan pada masa yang sama memperkukuh budaya hidup sihat dan selamat dalam kalangan rakyat.
Antara aktiviti utama ialah pengedaran dan penampalan poster larangan merokok di kawasan tumpuan awam, sebagai maklum balas terhadap aduan awam mengenai pelanggaran larangan merokok.
Poster berkenaan disumbangkan oleh Pusat Khidmat DUN Senadin, manakala penguatkuasaan turut disertai dua pegawai dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
Menurut statistik semasa, lebih 1,000 kompaun telah dikeluarkan di Miri terhadap individu yang merokok di kawasan larangan.
Di bawah Akta Kesihatan Awam 2024, kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 bagi kes pertama dan maksimum RM5,000 jika dibawa ke mahkamah.
Selain aspek kesihatan awam, program mingguan ini turut menjadi platform bagi pemimpin komuniti, termasuk ahli majlis dan kapitan, untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan.
Antara yang hadir ialah Cr Dato’ Victor Lau Sie Nguong, Cr William Sim, Kapitan Jee Kee Hiong, Jeffery Phang Siaw Foong serta Pengerusi SUPP Cawangan Kecil Riam, Kueh Chie Tiong.-EDISI UKAS