LIMBANG: Sarawak akan terus mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun sebagaimana dasar sedia ada Kerajaan Negeri yang disifatkan lebih sesuai dengan realiti dan keperluan pembangunan belia di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan menetapkan had umur belia kepada 30 tahun bermula Januari 2026, Sarawak tidak terikat untuk mengikutinya.
“Kita tidak terikat dengan apa yang diusulkan di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana belia dan sukan adalah perkara-perkara di bawah concurrent list. Tetapi cadangan seperti itu, kita bersedia akur.
“Saya pun ada bersama-sama dalam mesyuarat itu dan panjang lebar telah dibahas oleh exco-exco dan NGO-NGO yang hadir. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Ada yang berkata kekalkan dulu 35 tahun atau 40 tahun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program BeliaGoBiz @Limbang 2025 di Dewan Suarah Limbang, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, penetapan had umur kepada 30 tahun akan memberi kesan terhadap kelayakan belia untuk menyertai pelbagai program pembangunan, pembiayaan serta bantuan keusahawanan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan di Sarawak.
“Setiap kementerian dan industri lain mempunyai program untuk membantu mereka. Jika had umur ditetapkan kepada 30 tahun, bagaimana kita boleh membantu mereka?
“Sebab kalau kita lihat pada usia 30 tahun itu, ramai antara mereka baru menamatkan pengajian di universiti. Mereka berumur 20-an, lepas itu baru nak kahwin. Selepas berkahwin, mereka tidak lagi berada dalam golongan itu dan tidak layak menerima dana dan sebagainya,” jelas beliau.
Tambahnya, pendekatan fleksibel seperti yang diamalkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) wajar diteruskan kerana terbukti berjaya dalam konteks Sarawak.
“Kalau kita lihat Badan Bukan Kerajaan (NGO) terbesar di Sarawak, SABERKAS agak unik.
“Dalam SABERKAS, 30 peratus pengurusannya boleh terdiri daripada mereka berumur lebih 40 tahun, manakala 70 peratus mestilah berumur 40 tahun ke bawah.
“Ia telah dimaklumkan dalam mesyuarat itu dan menjadi satu formula yang sangat baik untuk Sarawak. Formula yang bagus, kami simpan. Kalau formula teruk, mungkin kita adjust sikit,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS