LIMBANG: Program BeliaGoBiz @Limbang 2025 membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperluas peluang pembangunan keusahawanan belia hingga ke kawasan luar bandar dan sempadan seperti Limbang, sejajar dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pendekatan inklusif ini amat penting bagi memastikan tiada belia tercicir daripada arus pembangunan ekonomi baharu negeri.
“Kerajaan Sarawak kini giat memacu agenda Ekonomi Baharu Sarawak, dengan menumpukan kepada pengukuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penglibatan aktif belia dalam bidang agroteknologi, pelancongan komuniti, perniagaan digital dan ekonomi kreatif.
“Justeru, Belia GoBiz @Limbang 2025 bukan sekadar satu program tetapi satu ekosistem pembelajaran, latihan, pendedahan pasaran serta pemerkasakan belia ke arah menjadi pencipta pekerjaan (job creator) dan bukan hanya pencari kerja (job seeker),” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Suarah Limbang, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim memberitahu, program ini menyediakan platform holistik kepada belia untuk mengasah kemahiran, membina rangkaian, memperkenalkan produk dan perkhidmatan serta mendapat pendedahan pasaran melalui sesi latihan, seminar, pameran dan pertandingan keusahawanan.
“Inisiatif seperti ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk melahirkan usahawan belia yang inovatif, kompetitif dan mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim menyifatkan kedudukan strategik Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam serta kekayaan sumber dan budaya menjadikannya sebagai lokasi yang sesuai untuk dibangunkan sebagai hab keusahawanan belia.
“Bahagian Limbang mempunyai banyak kelebihan dari segi lokasi strategik, potensi pelancongan komuniti, pengeluaran hasil tani dan produk desa yang berkualiti.
“Justeru, belia di Limbang harus digalakkan untuk mengkomersialkan produk tempatan dengan pendekatan baharu - menggunakan teknologi digital, media sosial, e-dagang dan pemasaran kreatif,” katanya.
Tambah beliau, untuk memperluaskan capaian pasaran, penting untuk memperkukuh jaringan antara belia tempatan dengan agensi pembangunan, pihak industri dan platform digital.
Bagi menyokong usaha tersebut, menurutnya, MYSED bersama agensi pelaksana menyediakan pelbagai skim bantuan dan geran permulaan termasuk Program StartUp, pembiayaan MINTRED, TEKUN, INSKEN, kerjasama bersama SME Corp, serta platform inkubasi digital.
Program Belia GoBiz @Limbang 2025 bukan sahaja mengetengahkan aspek keusahawanan dan pembangunan belia, malah turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang membuka kaunter serta pameran interaktif.
Penyertaan ini memberi pendedahan langsung kepada belia mengenai peluang kerjaya, latihan, pembiayaan serta sokongan agensi kerajaan terhadap usahawan muda.
Sebanyak 22 gerai jualan dan pameran mengambil bahagian sepanjang program berlangsung, mencerminkan keterlibatan aktif komuniti tempatan dalam mempromosi produk dan perkhidmatan tempatan.
Tidak ketinggalan, beberapa acara sampingan seperti street soccer, pertandingan karaoke dan tarik kalat turut diadakan, dengan penyertaan 14 pasukan termasuk dari Brunei Darussalam, sekali gus mencerminkan semangat integrasi rentas sempadan serta memupuk silaturahim serantau melalui sukan tradisional.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Ketua Bahagian MYSED Seroji Ludin, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.-EDISI UKAS