SEMATAN: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Komuniti Zon 11 dan Program Zero Waste anjuran Majlis Daerah Lundu memperkukuhkan usaha berterusan menjaga kebersihan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang dan dihadiri oleh ketua-ketua kaum, ahli-ahli majlis serta penduduk sekitar Zon 11 yang berlangsung di Kamoung Judin pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan lpenghargaan atas penganjuran program sebegini yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Program seumpama ini harus diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia bukan sahaja menyedarkan rakyat tentang tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kesihatan, malah merapatkan hubungan antara komuniti,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya amalan gotong-royong di setiap kampung sebagai langkah pencegahan penyakit, khususnya demam denggi yang kian meningkat.
Beliau menyeru agar setiap kampung harus mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong untuk membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes seperti bekas takungan air.
"Jika ada ahli keluarga yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan denggi, jangan panik. Segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan di samping pastikan juga pengambilan air mencukupi untuk membantu proses pemulihan,” tambah beliau.
Billy turut menyokong usaha Zero Waste yang diperkenalkan oleh pihak MDL, termasuk pengumpulan barangan elektrik dan barangan kitar semula yang sukar dilupuskan secara konvensional.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 20 orang penerima daripada komuniti setempat, sebagai simbol sokongan terhadap golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS