Penyalahgunaan Dadah Belia Luar Bandar Membimbangkan

Disiarkan pada 13 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia luar bandar kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan segera serta kerjasama pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, statistik semasa menunjukkan peningkatan ketara bilangan penagih dalam kalangan belia kampung yang semakin menjadi cabaran besar kepada komuniti setempat.

“Berbanding 10 hingga 20 tahun lalu, kini tokan dadah semakin berani dan licik menyelinap masuk ke kampung-kampung. Dadah jenis syabu dan ‘batu’ diedarkan secara terbuka kepada belia.

"Ia bukan saja menjejaskan masa depan individu, tetapi turut mengancam keselamatan dan pembangunan negara,” katanya demikian ketika berucap merasmikan program “Cegah Sebelum Parah” yang berlangsung di Dewan Warisan Sadong Jaya, Asajaya pada Sabtu.

Datuk Ir. Aidel turut menggesa agar kerjasama semua pihak termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan komuniti kampung dipertingkatkan bagi membanteras penularan dadah di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu turut menyokong langkah Jabatan Pendidikan melaksanakan ujian air kencing secara mandatori terhadap pelajar sekolah menengah sebagai satu pendekatan proaktif dan pencegahan awal terhadap gejala sosial.

“Langkah berani ini perlu diteruskan kerana ia mampu menyekat penglibatan belia daripada awal lagi,” jelas beliau.

Tambahnya, usaha berterusan pihak PDRM, AADK dan agensi penguatkuasaan lain dalam menjalankan pemantauan terbuka dan senyap di kawasan luar bandar.

Datuk Ir Aidel turut menyeru agar komuniti seperti KMKK, JKKK, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan persatuan tempatan terus memainkan peranan aktif dalam mengenalpasti individu berisiko dan melaporkan aktiviti mencurigakan

Selain itu, beliau mencadangkan agar lebih banyak program pendidikan dan kesedaran dilaksanakan di peringkat kampung sebagai usaha memperkasa masyarakat terhadap bahaya dadah.

Aktiviti berbentuk pembangunan belia dan sosial juga disarankan sebagai alternatif sihat dan membina sahsiah generasi muda.

Beliau optimis bahawa dengan kolaborasi berterusan antara kerajaan, agensi penguatkuasaan dan rakyat, Daerah Kecil Sadong Jaya mampu menjadi model kepada daerah lain dalam menangani isu dadah secara holistik. -EDISI UKAS