KUCHING: Negara-negara seperti China, Jepun, Perancis, Norway dan Russia kini menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur di Sarawak, sekali gus mengiktiraf negeri itu sebagai destinasi pelaburan baharu yang berpotensi besar di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, lawatan ke Osaka Expo 2025 baru-baru ini menyaksikan Sarawak telah mendapat perhatian pelabur Jepun dan China yang berminat untuk menanam modal, manakala negara lain seperti Perancis, Norway dan Russia turut melihat potensi besar negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik setelah lawatan beliau di kedua-dua negara.
Tambahnya, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur menyaksikan Norway memberi fokus utama untuk melabur di Sarawak setelah lawatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada tahun lepas.
"Bukan sahaja di Jepun, saya juga pergi ke Perancis, Russia dan memang Sarawak kini menjadi tarikan baharu.
"Baru-baru ini Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung minggu lepas di Kuala Lumpur, Menteri Luar daripada Norway telah dijemput untuk menjadi rakan strategik kepada ASEAN, dan Sarawak menjadi fokus mereka untuk pelaburan di Malaysia.
"Sarawak menjadi tumpuan mereka sebab mereka tahu Premier Sarawak pernah ke sana untuk melihat sistem Pemerangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Norway dan pelbagai sistem kewangan lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perdana Kesenian & Kebudayaan Dayak Peringkat Parlimen Petra Jaya 2025 yang diadakan di Dewan SDNU, Siol Kandis, Petra Jaya pada Sabtu.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, kejayaan ini hasil dasar yang jelas daripada kepimpinan di Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Zohari terutamanya berada di hadapan dalam pelbagai aspek seperti tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.
Hal ini ditambah dengan persiapan Kerajaan Sarawak menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang dan mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.
"Sebab pertama, dasar kita yang jelas, kedua, kerajaan yang mesra perniagaan, ketiga kestabilan politik dan keempat iaiturakyatnya yang mesra dan berpengetahuan.
"Orang Sarawak boleh berbahasa Inggeris, mempunyai komitmen bekerja, dan kualiti rakyat Sarawak inilah yang bukan sahaja menarik pelancong, malah pelabur untuk datang," jelasnya.
Justeru katanya, kejayaan Sarawak tidak akan dicapai tanpa sokongan padu rakyat yang bersatu hati dalam memastikan kestabilan politik terus kekal agar wilayah ini menjadi negeri makmur, sejahtera dan sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang. -EDISI UKAS