KUCHING: Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) digambarkan sebagai pemangkin penting dalam usaha memperkukuh jati diri generasi muda di tengah arus globalisasi yang kian mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor menegaskan bahawa keturunan Pengiran memiliki warisan yang amat istimewa dalam sejarah Sarawak, bahkan lebih awal bertapak di negeri ini sebelum era pemerintahan Brooke, menerusi susur galur yang berasal dari Brunei Darussalam.
“Kita tidak mahu generasi akan datang hanya mengenal identiti mereka sekadar pada nama.
“Mereka harus dididik tentang akar sejarah dan budaya warisan agar tidak hanyut dalam arus globalisasi yang semakin deras,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Beme Awang Ali Basah ketika merasmikan Majlis Makan Malam Silaturrahim 2025 anjuran PKWPS di sini pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran Konsul Brunei, wakil dari Indonesia, para ketua agensi, tokoh NGO serta kerabat dari Sambas dan Brunei, menjadikan sambutan malam tersebut bukti sokongan padu terhadap perjuangan memelihara warisan dan silaturrahim.
Selain itu, Dayang Noorazah turut menyeru agar semua pertubuhan kekeluargaan dan komuniti seperti PKWPS memperkukuh tiga teras utama dalam hala tuju mereka, iaitu mengamalkan tadbir urus yang baik, memberi fokus kepada pembangunan modal insan, serta membina kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta.
Beliau turut menyambut baik hasrat PKWPS untuk mendokumentasikan sejarah keturunan Pengiran dalam bentuk buku, satu usaha yang menurutnya sangat penting bagi memperkukuh identiti dan menjadi rujukan generasi muda di mana inisiatif ini turut mendapat sokongan penuh daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan murni PKWPS, beliau turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan tersebut bagi melancarkan aktiviti mereka.
Hadir sama Toh Puan Hayati Ahmad, Pengerusi PKWPS, Awang Maghrib Awang Anie, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam, Shiekh Abdul Mahdani Dato Paduka Shiekh Abdul Gani Rithaudden, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengerusi Jawatankuasa Adat Istiadat dan Tarsilah Pengiran Sarawak merangkap Penasihat PKWPS, Dr Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad, Penasihat 2 PKWPS, Awang Indra Awang Moustapha, Timbalan Jawatankuasa Adat Istiadat dan Tarsilah Pengiran Sarawak serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS