MIRI: Sebanyak 30 buah pertubuhan dan institusi tempatan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM89,000.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang menyempurnakan penyampaian peruntukan berkenaan di Pusat Khidmat DUN Pujut, Miri pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Adam Yii menyatakan bahawa ini merupakan kali kedua penyerahan MRP dilakukan tahun ini, selepas melalui proses permohonan dan kelulusan yang teliti.
“Ini penyerahan kali kedua bagi tahun ini. Proses agak memakan masa kerana melibatkan permohonan, penelitian dan kelulusan rasmi. Namun saya gembira kerana sebanyak 30 pertubuhan pelbagai latar belakang menerima manfaat kali ini,” katanya.
Antara penerima manfaat MRP kali ini termasuk pelbagai persatuan masyarakat, sukan, kebajikan, pendidikan dan kebudayaan seperti Persatuan Guang Ning Miri, Sarawak Miri Deng Clan Association, PIBAKIS, Persatuan Serebrum Palsi Miri, Persatuan Pekerja Minyak Dan Gas Sarawak, Persatuan Kebajikan Zhang Shen Miri, Rukun Tetangga Taman Hill Top Miri, dan lain-lain.
Selain penyerahan MRP, Adam Yii turut berkongsi pelaksanaan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tempoh 2022 hingga 2024 yang melibatkan 14 projek taman rekreasi dan kemudahan sukan di sekitar kawasan DUN Pujut dengan jumlah keseluruhan bernilai RM3.6 juta.
Menurutnya, antara projek RTP yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan penambahbaikan ‘pocket park’, laluan pejalan kaki, gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, padang bola sepak, dan ‘rock garden’ di kawasan seperti Pujut Adong, Piasau Utara, Piasau Garden, Piasau Jaya dan Krokop.
Majlis ini menjadi bukti komitmen berterusan Adam Yii dalam memperkasa pembangunan infrastruktur, sukan, pendidikan dan kebajikan sosial di kawasan DUN Pujut melalui pendekatan inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS