KUCHING: Pelan Induk Kelestarian 2030 yang dilancarkan pada penghujung Mei lalu meletakkan Sarawak sebagai satu-satunya wilayah yang memberi fokus khas kepada kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelan induk yang mengambil kira asas pembangunan alam sekitar, pertanian, bandar dan sosial bertepatan dengan matlamat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menekankan kelestarian.
“Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek pembangunan seperti pembangunan bandar, pertanian dan sosial, berdasarkan prinsip yang digariskan oleh UNESCO di mana kita merupakan satu-satunya kawasan yang memberi tumpuan khusus kepada kelestarian alam sekitar secara menyeluruh, selaras dengan tema Hari Hutan Antarabangsa kita iaitu ‘Hutan dan Makanan’.
“Apabila aspek makanan diperkukuhkan, seperti yang sering diperkatakan, masa depan kita akan menjadi lebih cerah.
“Malah, menerusi pelan induk ini, kita mengambil langkah untuk mengurangkan aktiviti pembalakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Sarawak, yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Hutan, di sini, pada Sabtu.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, usaha Sarawak kini yang menekankan kelestarian alam sekitar semakin diiktiraf di peringkat global, malah sering mendapat jemputan di persidangan antarabangsa untuk berkongsikan dasar kelestarian wilayah ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS