Bengkel Perkasakan KMKK & JKKK Lubok Antu Tingkat Kefahaman Tadbir Urus Komuniti

Disiarkan pada 12 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


LUBOK ANTU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Lubok Antu telah menghadiri Bengkel Memperkasakan Peranan KMKK dan JKKK yang berlangsung di Rumah Dimbap Anak Awet, Serubah Ili, di sini pada Sabtu.

Bengkel anjuran Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu dengan kerjasama JKKK Serubah Ili itu bertujuan meningkatkan kefahaman para pemimpin akar umbi terhadap peranan, tanggungjawab dan integriti dalam tadbir urus komuniti.

Pelbagai topik telah dibincangkan sepanjang bengkel, antaranya pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat akar umbi, tatacara pengurusan kewangan dan mesyuarat JKKK, strategi komunikasi berkesan antara rakyat dan agensi kerajaan, serta peranan KMKK dalam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti.

Antara penceramah yang terlibat ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu Stanley Nunsang, Pegawai Daerah Lubok Antu Aloi Ejau, Pemanca Grang Juben, Pemanca Chua Kee Long serta KMKK dari seluruh Daerah Lubok Antu. -EDISI UKAS