Pesta Ujud Edisi Ke-5 2025 Buka Tirai, Raikan Tradisi & Warisan

Disiarkan pada 12 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Pesta Ujud Edisi Ke-5 2025 membuka tirainya hari ini dengan penuh meriah menerusi acara pertandingan melastik yang berlangsung di Dewan Kampung Kelka, di sini pada Sabtu.

Acara tahunan anjuran Angkatan Anak-Anak Kelka itu menjadi tumpuan warga Kampung Kelka dan penduduk sekitar yang akan berlangsung selama 11 hari, bermula 12 hingga 22 Julai, bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-62.

Berlangsung di dua lokasi utama iaitu Dewan Kampung Kelka dan muara tebingan Sungai Kelka yang dikenali sebagai Tapak Pesta Ujud, pesta ini bukan sekadar platform hiburan, malah menjadi simbol identiti budaya dan kebanggaan komuniti setempat.

Pesta Ujud kini semakin dikenali sebagai ‘trademark’ budaya Kampung Kelka yang turut membantu menjana ekonomi penduduk, khususnya golongan usahawan kecil dan penjaja tempatan yang memperoleh sumber pendapatan tambahan sepanjang penganjuran pesta.

Edisi kali ini tampil lebih tersusun dan berprestij dengan memperkenalkan lebih 20 acara tradisional melibatkan penyertaan pelbagai peringkat umur. Antara yang menjadi tarikan utama ialah pukul bantal di atas batang khas, panjat tiang licin, tarik tali, memancing, serembam, mesit botol, ngayam ketupat, nguko nyiur, menyumpit, dan meraut lidi.

Acara-acara ini bukan sahaja mengimbau nostalgia warisan permainan masyarakat dahulu, malah menarik minat anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman untuk turut serta memeriahkan suasana.

Majlis Penangguhan Pesta Ujud Edisi Ke-5 dijadual berlangsung pada malam 21 Julai dan akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang turut dijangka merasmikan dan menamakan secara rasmi Dewan Kampung Kelka. -EDISI UKAS