SIMANGGANG: Hubungan erat antara ibu bapa dan guru amat penting dalam memastikan kejayaan murid, sama ada dari segi akademik mahupun sahsiah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, ini membolehkan anak-anak sentiasa positif dengan sokongan yang kukuh di rumah dan di sekolah.
“Kerjasama dan sokongan daripada ibu bapa amat penting untuk mendorong anak-anak aktif dalam pembelajaran serta menjayakan pelbagai program sekolah,” katanya demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selepong di sebuah restoran di sini pada Sabtu.
Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM78,000 bagi menyokong pembangunan pendidikan dan infrastruktur SK Selepong iaitu bagi penganjuran Pertandingan Bintang Kecil tahun 2026, dana untuk Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Selepong serta pembinaan tandas baharu di Dewan Panggau Dau, SK Selepong melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Dalam majlis sama, turut dimaklumkan bahawa SK Melugu akan bertanggungjawab menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Tahunan sebagai salah satu usaha memupuk budaya sukan dan semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah rendah kawasan Bukit Begunan. -EDISI UKAS