ASAJAYA: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah terus diperkasa apabila Program ‘Cegah Sebelum Parah’ berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta di Dewan Warisan Sadong Jaya di sini, pada Sabtu.
Program anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) itu melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah, belia serta penduduk kampung sekitar Sadong Jaya dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah.
Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SMK Asajaya, SMK Sadong Jaya, SMK Pesantren dan SMK Sadong Jaya Hilir, dengan penglibatan aktif masyarakat setempat yang prihatin terhadap isu sosial tersebut.
Pameran itu memberi ruang kepada peserta untuk mendalami isu berkaitan penyalahgunaan dadah serta langkah penguatkuasaan dan pemulihan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, beberapa ceramah turut diadakan termasuk topik “Kesihatan Mental Akibat Penyalahgunaan Dadah” oleh wakil Hospital Sentosa Kuching serta perkongsian cabaran institusi pemulihan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang menekankan usaha membantu bekas penagih membina semula kehidupan.
Ceramah daripada Bahagian Narkotik PDRM pula memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan undang-undang dalam membanteras penyalahgunaan dadah, sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan pihak berkuasa.
Menjadi tumpuan program ialah sesi perkongsian pengalaman oleh seorang bekas penagih dadah yang kini telah pulih sepenuhnya, memberikan inspirasi bahawa perubahan ke arah kehidupan lebih baik bukan sesuatu yang mustahil dengan usaha gigih dan sokongan berterusan. -EDISI UKAS