ADUN Muara Tuang Salur Bantuan Segera Tangani Gangguan Bekalan Air

Disiarkan pada 12 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Musibah melanda penduduk di Muara Tuang yang terjejas akibat gangguan bekalan air bersih mendapat perhatian Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang.

Prihatin dengan nasib penduduk terjejas, beliau mengarahkan pasukan First Response Team N.16 Muara Tuang untuk menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas.

Ketua Markas Operasi DUN Muara Tuang, Kr Aziz Mohamad telah mengetuai penghantaran bantuan yang dilaksanakan dari Pusat Markas Operasi DUN N.16 Muara Tuang di Taman Desa Ilmu, di sini, pada petang Jumaat.

Sebagai langkah awal, sebanyak 300 karton air mineral telah diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Tanjung Parang dan Kampung Sungai Mata untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

Selain itu, sembilan tong biru tangki air turut dihantar ke Kampung Tanjung Parang, manakala 10 tong biru tangki air dihantar ke Kampung Naie Baru sebagai langkah persediaan jangka pendek sekiranya gangguan bekalan air berlarutan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas penduduk sentiasa diberi keutamaan, khususnya dalam menangani isu yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan harian masyarakat setempat. -EDISI UKAS