KUCHING: Seramai 100 warga emas yang menepati kriteria berpeluang menerima suntikan Vaksin Influenza Kebangsaan secara percuma dalam satu program khas anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, program imunisasi itu diadakan sempena Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Bahagian Kuching 2025, bertempat di Mydin Vista Tunku, Petra Jaya, pada Sabtu, 12 Julai 2025 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Program ini menyasarkan warga emas berumur 60 tahun ke atas (mesti genap umur 60 tahun) yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit pernafasan kronik, penyakit jantung dan vaskular kronik, obesiti (BMI > 30 kg/m²), darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit buah pinggang kronik,” menurut kenyataan dalam hantaran Facebook rasmi agensi itu pada Khamis.
Penerima vaksin diingatkan untuk membawa kad klinik masing-masing bagi tujuan pengesahan penyakit kronik semasa suntikan dijalankan.
Vaksin diberikan secara percuma dan terhad kepada 100 unit sahaja, justeru orang ramai digalakkan untuk mendaftar lebih awal melalui pautan berikut: https://forms.gle/ZDpJrXoKVH4Kkx4J7. -EDISI UKAS
Sumber: Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching