SERIAN: Yayasan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meneruskan inisiatif membantu golongan rentan melalui penganjuran Program Memacu Kehidupan Hari Gawai 2025 di Kampung Tarat Melawi di sini pada Jumaat.
Majlis yang bermula pada jam 11.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan kerajaan negeri terhadap inisiatif kebajikan sektor korporat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Program “Memacu Kehidupan Hari Gawai 2025” merupakan inisiatif tahunan Yayasan Petronas di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bertujuan membantu komuniti yang memerlukan, khususnya sempena sambutan Hari Gawai.
Seramai 150 penerima bantuan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta individu kurang upaya, bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan.
Program ini bukan sahaja menyalurkan bantuan fizikal malah turut menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Yayasan Petronas menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan program seumpama ini sebagai sebahagian daripada sumbangan berterusan kepada rakyat di seluruh negara.
Hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pengurus Besar Petronas Sarawak Norazibah Md Rabu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian Robert Julong Begat serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damien Rejek. -EDISI UKAS