KUCHING: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 11 kini melebihi 60 peratus telah siap.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, sekolah tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan.
"Projek ini akan siap menjelang Mac, tetapi sebenarnya ia adalah projek yang berjalan dengan sangat pantas di mana kita sudah pun mengadakan majlis pecah tanah pada Oktober lepas.
"Sekarang, pembinaan bangunannya sudah sampai ke tingkat dua dan kini menghampiri ke tingkat tiga maka banyak yang telah dicapai sebelum tahun 2026 tiba.
"Itulah sebabnya mereka kata projek ini akan siap menjelang Mac 2026, yang secara keseluruhannya mengambil masa kira-kira 15 bulan.
"Ini menunjukkan bahawa kita amat bersyukur atas segala usaha ini kerana semua pihak bekerjasama, termasuk kontraktor-kontraktor yang baik, semuanya berganding bahu menjayakannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke tapak pembinaan SJK Chung Hua Batu 11 pada Jumaat.
Dalam lawatan tersebut, turut diadakan penyerahan cek daripada Kerajaan Sarawak kepada lembaga pengurusan SJK Chung Hua Batu 11 bernilai RM1.5 juta yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Dato Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menzahirkan penghargaan kepada Datuk Amar Prof Dr Sim atas usaha beliau mendapatkan peruntukan tambahan untuk pembinaan sekolah tersebut.
"Datuk Amar Dr Sim membawa cek berjumlah RM1.5 juta untuk kita serahkan kepada lembaga agar mereka dapat meneruskan pembangunan.
"Kita juga ingin memastikan sekolah ini siap secepat mungkin supaya para pelajar dapat menikmati kemudahan sekolah baharu ini secepat mungkin.
Untuk makluman, projek berkapasiti 100 lebih orang ini memperuntukkan sebanyak RM7 juta dengan Kerajaan Sarawak telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM4 juta termasuk penyerahan dana tambahan pada hari ini. -EDISI UKAS