BINTULU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu menyatakan sokongan padu terhadap keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk menambah jumlah kerusi kepada 99, selaras dengan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sistem demokrasi dan representasi rakyat.
Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, langkah itu merupakan inisiatif penting yang memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan pendidikan.
“Penambahan kerusi ini adalah wajar memandangkan keluasan geografi Sarawak yang hampir menyamai Semenanjung Malaysia.
“Walaupun Semenanjung mempunyai 505 kerusi DUN, Sarawak kini hanya dinaikkan kepada 99. Ini adalah langkah yang adil dan penting demi keseimbangan politik dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak agar memahami kepentingan sebenar langkah ini dan tidak terpengaruh dengan retorik politik yang boleh memesongkan fakta.
“Penambahan kerusi bukan soal kepentingan parti semata-mata, tetapi strategi untuk memastikan suara rakyat lebih terwakili di peringkat negeri dan persekutuan,” ujarnya.
Menurut Johnny Pang, langkah ini juga selari dengan usaha memperjuangkan agar Sabah dan Sarawak memperoleh satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen seperti yang digariskan dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penting untuk menjamin hak-hak negeri Borneo dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah, SUPP berpandangan bahawa penambahan kerusi ini akan membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan golongan muda dalam arena politik secara aktif.
Ujar beliau, dengan lebih banyak kawasan pilihan raya, bakat kepimpinan baharu dapat digilap untuk kesinambungan masa depan negeri.
Tambahnya, peningkatan populasi dan pembangunan ekonomi yang pesat turut mengukuhkan keperluan untuk semakan semula sempadan kawasan pilihan raya, agar jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Dengan penambahan kerusi, perwakilan rakyat akan menjadi lebih seimbang dan saksama.
“Kawasan-kawasan terpencil dan komuniti baharu yang sedang berkembang akan lebih mudah disuarakan melalui wakil rakyat yang lebih dekat dan memahami keperluan tempatan,” jelasnya lagi.
Langkah ini tambahnya, turut disifatkan sebagai satu kemajuan demokrasi di Sarawak, yang bakal memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan pengundi serta mempercepat penyelesaian isu setempat.
Dari sudut ekonomi, beliau berkata penambahan kerusi akan membolehkan peruntukan pembangunan dan infrastruktur diagih secara lebih adil dan menyeluruh.
“Langkah ini bukan sahaja menyelesaikan cabaran semasa, malah merupakan pelaburan jangka panjang demi Sarawak yang lebih adil, maju dan berdaya saing,” katanya.-EDISI UKAS