MPS Lancar Sistem Digital Tangani Kes Sosial Dengan Lebih Efisien

Disiarkan pada 10 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Pembangunan Sosial (MPS) mengambil pendekatan yang lebih efisien untuk menangani kes sosial dengan melancarkan Sistem Pengurusan Pembangunan Sosial dan Intervensi Bersepadu (ISDIMS).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ISDIMS ini dijangka menjadi tulang belakang transformasi digital pembangunan sosial Sarawak, menyokong penyelarasan data rentas agensi, pelaporan sosial masa nyata, dan perancangan dasar yang lebih responsif serta berimpak.

“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kami di MPS, di mana kes-kes sosial kini dapat ditangani dengan lebih cepat, tepat dan bersepadu.

“Melalui sistem ini, data yang dikumpul dapat digunakan serta dikongsi secara efisien dengan agensi-agensi berkaitan dan ia bukan sahaja mempercepatkan tindakan intervensi, malah mengukuhkan kerjasama antara agensi untuk melaksanakan penyelesaian secara lebih menyeluruh dan efektif,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli MPS Bil. 1 yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Khamis.

Berhubung dengan masalah sosial di Sarawak, beliau menegaskan bahawa MPS turut mengambil langkah-langkah baharu termasuklah penyelidikan, penilaian, program intervensi dan pemetaan kawasan-kawasan berlakunya masalah sosial di seluruh Sarawak yang melibatkan kesemua 13 kes lazim yang dilaporkan.

Antara yang didedahkan ialah penyalahgunaan dadah dan substans, kehamilan remaja, gelandangan dan lain-lain.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, fokus kita sebelum ini hanyalah pada pemetaan bagi tiga isu sosial utama.

“Namun kali ini, kita berjaya melaksanakan pemetaan lengkap bagi kesemua 13 isu sosial yang telah dikenal pasti yang menjadi asas yang sangat kukuh untuk kita melaksanakan program intervensi, kesedaran serta advokasi secara lebih menyeluruh.

“Ia juga membolehkan kita merangka program dan aktiviti yang bersesuaian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan kes-kes sosial yang berlaku,” jelasnya lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Datu Felicia Tan Ya Hua dan Setiausaha Eksekutif MPS Sarawak Riziandy Nawawi. -EDISI UKAS