Ribuan Dijangka Sertai Unity Walk 2025, Persiapan Fokus Aspek Keselamatan

Disiarkan pada 10 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Penganjuran Unity Walk Hari Sarawak 2025 dijangka disertai ribuan peserta, memerlukan penyelarasan rapi dan kawalan keselamatan menyeluruh bagi memastikan kelancaran program.

Sebagai langkah awal, satu sesi lawatan tapak dan mesyuarat jawatankuasa pelaksana telah diadakan di dua lokasi utama iaitu Stadium Bandaraya Miri dan Dewan Suarah Miri, melibatkan lebih 20 wakil daripada agensi pelaksana serta jabatan berkaitan, pada Khamis.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Dato Sebastian Ting Chiew Yew, yang turut memikul tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Program Unity Walk tahun ini.

Menurut Dato Sebastian Ting, koordinasi antara semua pihak adalah teras utama kejayaan Unity Walk, memandangkan ia dijangka menghimpunkan 5,000 peserta dan melibatkan pergerakan sejauh 2.6 kilometer di sekitar kawasan bandar.

“Kita perlu pastikan dari segi logistik, kawalan keselamatan, pengurusan trafik dan kebajikan peserta, semuanya diselaraskan dengan teliti.

“Unity Walk ini bukan sekadar acara simbolik tetapi turut membawa imej negeri Sarawak sebagai penganjur program bertaraf tinggi,” katanya.

Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) melalui Pejabat MYSED Bahagian Miri itu dijadual berlangsung pada 22 Julai 2025, dengan Stadium Bandaraya Miri sebagai lokasi pelepasan.

Acara Unity Walk kali ini turut mendapat penghormatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang dijangka hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta.

Turut hadir dalam mesyuarat ialah Pegawai Penguasa Pejabat MYSED Bahagian Miri, Chong Suk Thing serta yang lain.-EDISI UKAS