722 Walk Semai Gaya Hidup Sihat, Perkukuh Perpaduan Komuniti Bandar

Disiarkan pada 10 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penganjuran program ‘722 Walk’ sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini bakal menjadi pemangkin kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat bandar di Kuching.

Program yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif bersama tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), sebagai simbol solidariti dan kesepakatan dalam menggalakkan penyertaan masyarakat melalui aktiviti berimpak tinggi.

Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, penganjuran ‘722 Walk’ selari dengan hasrat DBKU untuk mewujudkan masyarakat bandar yang sihat, progresif dan inklusif.

“Program ini bukan sekadar perarakan sempena Hari Sarawak, tetapi menjadi medium untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat,” ujarnya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Beliau menambah, semangat kebersamaan yang ditonjolkan dalam program ini mencerminkan keutuhan hubungan antara komuniti bandar dan pihak berkuasa tempatan, sekaligus menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan warga Kuching.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyatakan bahawa inisiatif ‘722 Walk’ bermula daripada ilham yang sederhana tetapi penuh makna.

“Kami hanya berdiri dan berkata apa yang akan kita lakukan untuk 722 ini? Ini hari masyarakat. Bukan untuk kita tidur, tetapi untuk kita bangun dan meraikan hari istimewa ini sebagai anak Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, meskipun acara utama Hari Sarawak pada tahun ini akan berlangsung di Miri, ia tidak menghalang warga Kuching untuk menganjurkan acara tersendiri di ibu negeri.

“Kami temui satu cara yang sangat bermakna untuk menyambut Hari Sarawak dengan cara yang inklusif, menyatupadukan dan penuh kasih sayang terhadap negeri tercinta,” jelasnya lagi.

Dato Wee turut memaklumkan bahawa cadangan penganjuran ini telah mendapat sambutan pantas dan penuh sokongan daripada Datuk Bandar DBKU dan Pengerusi MPP, menandakan satu permulaan kukuh ke arah penganjuran tahunan secara bergilir.

“Tahun ini MBKS sebagai hos, tahun depan giliran DBKU dan seterusnya MPP. Kita akan terus bergerak bersama demi kejayaan program ini,” tambahnya.

Di samping itu, Datuk Bandar DBKU turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan termasuk MBKS, MPP, Community Joy Club (CJC) serta seluruh peserta yang akan menyertai acara itu nanti.-EDISI UKAS