Sarawak Perkukuh Persediaan Tangani Penyakit Zoonotik Dan Tropika

Disiarkan pada 10 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Penganjuran Persidangan Zoonotik dan Penyakit Tropika yang diadakan dua tahun sekali disifatkan sebagai langkah penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi penularan penyakit berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, zoonosis atau penyakit bawaan haiwan seperti HIV dan COVID-19 membuktikan risiko penularan sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

“Di Sarawak sendiri, malaria bawaan nyamuk monyet membuktikan ancaman ini wujud. Sebab itu kita tubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dengan kos lebih RM200 juta dan merupatkan yang pertama di Malaysia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Asia-Pasifik Kedua mengenai Penyakit Zoonotik dan Tropika Terabai 2025 di sini, pada Khamis.

Tambahnya, perubahan iklim juga menyebabkan penyakit tropika berpotensi menular ke negara-negara lain maka kerjasama antarabangsa dan perkongsian kepakaran sangat diperlukan.

Kini jelasnya, Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Atlanta bagi mendapatkan keperluan kepakaran agar rakyat Sarawak boleh dilatih dan makmal dapat berfungsi dengan lebih baik.

Mengulas mengenai ancaman rabies, Datuk Amar Dr Sim menegaskan pemilik haiwan peliharaan perlu lebih bertanggungjawab memastikan haiwan mereka divaksinasi.

“Kadar vaksinasi anjing di kawasan sempadan sudah mencecah 80 peratus, tetapi di kawasan bandar, ramai masih ambil mudah. Rabies boleh dihapuskan jika semua pihak memainkan peranan,” jelasnya. -EDISI UKAS