KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang termasuk isu vape yang kian membimbangkan.
Kerjasama ini dimantapkan menerusi kunjungan hormat Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Salahuddin Che Ali bersama Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), Jasmirol Jamaluddin ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, pada Khamis.
Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC-MIDS), menyifatkan kunjungan itu sebagai peluang memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi negeri dan persekutuan secara bersepadu.
“Kami mewakili OSC-MIDS berpendapat bahawa kunjungan hormat ini akan dapat memantapkan lagi usaha kita menangani isu dadah dan substance di negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, antara isu utama yang dikenal pasti dalam mesyuarat OSC-MIDS sebelum ini ialah penggunaan Sarawak sebagai laluan transit oleh sindiket dadah, khususnya melalui perkhidmatan kurier sebagai modus operandi.
“Semasa lawatan ke Lapangan Terbang Miri, kami menyaksikan sendiri timbunan bungkusan yang sangat banyak sampai pada satu-satu masa.
“Kelemahan ini telah dieksploitasi oleh sindiket pengedaran dadah, memandangkan jumlah bungkusan yang tiba terlalu besar untuk diperiksa secara menyeluruh. Mesin pengimbas sedia ada pula hanya mengesan logam, bukan dadah,” jelasnya.
Selain isu pengedaran dadah, Dato Sri Fatimah turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar, yang turut mendapat perhatian di peringkat Parlimen.
Menurutnya, kertas kerja berkaitan penggunaan vape telah dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kini sedang melalui proses saringan teknikal sebelum dibawa ke kabinet negeri untuk pertimbangan dasar.
Sementara itu, Datuk Mat Zani memaklumkan bahawa Sarawak kini dikenal pasti sebagai negeri transit baharu bagi pengedaran dadah dari Semenanjung Malaysia ke pasaran antarabangsa.
“Kebelakangan ini, kita mendapati sindiket dari Semenanjung cuba menembusi pasaran Sarawak dan menjadikannya sebagai laluan transit sebelum dadah disalurkan ke negara-negara jiran.
“Jadi, ini satu fenomena yang perlu kita tangani dan perlu kita banteras dari awal,” tegasnya.
Beliau berkata, penghantaran melalui perkhidmatan kurier kekal menjadi modus operandi utama dan pihaknya kini sedang giat mengenal pasti rangkaian sindiket serta dalang di sebalik kegiatan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai isu vape, beliau menjelaskan bahawa walaupun ancaman vape di Sarawak belum mencapai tahap kritikal seperti di Semenanjung, tindakan pencegahan awal perlu dipertingkat.
“Kita sedar ancaman vape di Sarawak belum seteruk di Semenanjung, namun pendekatan lebih agresif dan komprehensif perlu diambil segera, dengan kerjasama penuh daripada Kerajaan Sarawak.
“Kami percaya dengan kerjasama Dato Sri Fatimah melalui OSC-MIDS, mereka boleh memberi pandangan ataupun menyokong hasrat kita dalam usaha untuk memastikan masyarakat Sarawak bebas daripada ancaman dadah,” katanya lagi.-EDISI UKAS