TOKYO: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Platform Pensijilan Hidrogen sendiri yang sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan ketelusan dan kebolehkesanan dalam menyokong integriti pasaran.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak juga berusaha gigih untuk mendapatkan perjanjian jual beli jangka panjang di peringkat antarabangsa bagi memberikan keyakinan kepada para pelabur untuk melabur dalam skala besar.
Menurutnya, kerajaan negeri itu telah mengambil langkah proaktif menerusi pelancaran Sarawak Hydrogen Economy Roadmap (SHER) iaitu satu pelan jangka panjang yang menyasarkan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen yang kompetitif dari segi kos, boleh dipercayai dan mampu berkembang secara berskala.
"Lebih penting lagi, kami (Sarawak) sedang melabur dalam bidang teknologi dan inovasi kerana kami sedar bahawa penambahbaikan berterusan adalah kunci kepada daya saing dalam landskap tenaga yang sentiasa berubah.
"Keseluruhan inisiatif ini disokong oleh pemacu kukuh, tadbir urus, infrastruktur, pembiayaan, pembangunan tenaga kerja dan kejelasan peraturan. Gabungan ini membentuk platform yang realistik tetapi transformatif untuk membolehkan Sarawak muncul sebagai peneraju hidrogen serantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Sarawak’s Hydrogen Vision: Catalysing Green Growth for ASEAN and Beyond' di Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada Khamis.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Premier Sarawak menjelaskan Kerajaan Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk mewujudkan satu platform pensijilan bersama yang diterima pakai di peringkat ASEAN dan juga antarabangsa.
Jelas beliau, piawaian itu mestilah selaras dengan penanda aras global kerana dalam jangka masa panjang, piawaian berkenaan juga akan menjadi pemangkin kepada apa yang dikenali sebagai pasaran sukarela bagi pertukaran karbon.
"Berdasarkan pelan hala tuju tersebut, kita telah merangka laluan dan arah tuju kita untuk bergerak ke hadapan menggunakan hidrogen sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang diterima bukan sahaja di peringkat ASEAN, malah di peringkat global dan akhirnya diiktiraf oleh dunia memandangkan ini merupakan sumber tenaga baharu secara keseluruhannya.
"Persoalan kini bergantung kepada nilai yang kita bawa. Apa yang penting sekarang ialah kita perlu memiliki teknologi yang sesuai, dan kita juga mempunyai kekuatan.
"Saya telah menyebut mengenai teknologi yang dikongsi bersama serta infrastruktur yang dikongsi. Akhirnya, manfaatnya akan dapat dikongsi oleh semua pihak," ujar beliau.
Mengiringi beliau dalam persidangan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato' Shahril Effendi Abd Ghany, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS