LACHAU: Acara Gendang Pampat sempena Pesta Gawai Lachau berjaya menarik ramai pengunjung ke pesta tersebut yang menyaksikan sebanyak 14 kumpulan bertanding bagi merebut piala dan wang tunai.
Johan dimenangi kumpulan gendang ‘Sigat Tuai’ dari Kampung Senangih, Sadong Jaya yang berjaya merangkul piala, wang tunai RM2,000 serta sijil.
Tempat kedua pula dimenangi Kumpulan ‘Lang Tuntung Menaul Burik’ yang menerima wang tunai berjumlah RM1700 beserta piala serta sijil.
Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan ‘Persatuan Gendang Pampat Iban Dau’ yang menerima wang tunai berjumlah RM500 beserta piala serta sijil.
Lima hadiah sagu hati juga diberikan kepada kumpulan lain yang merupakan wang tunai RM500 setiap kumpulan berserta sijil penyertaan.
Gendang Pampat yang mula diperkenalkan pada Pesta Pantu tahun 2020 kini semakin popular sebagai acara yang digemari oleh penggiat seni warisan di kawasan ini.
Ia juga adalah salah satu daripada ritual kaum Iban bagi menyeru dewa-dewa menyebabkan upacara miring perlu dilakukan oleh setiap kumpulan sebelum memulakan pertandingan. -EDISI UKAS