Projek Lampu Isyarat Pintar Jalan Wawasan Usaha Penting Tangani Kemalangan

Disiarkan pada 09 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Projek pemasangan lampu isyarat pintar yang bernilai lebih RM2 juta di simpang empat Jalan Wawasan di sini menjadi langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, projek ini bukan sekadar untuk mempertingkatkan kelancaran trafik, malah menjadi langkah kritikal bagi mengurangkan risiko kemalangan di simpang yang telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘black spot’.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan tapak projek tersebut kepada Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) di tapak projek pada Rabu.

Menurut beliau, projek ini dijangka mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan, bermula 9 Julai dan dijadualkan siap pada 19 November 2025.

Royston menjelaskan bahawa projek ini bukan sekadar pemasangan lampu isyarat pintar, tetapi turut merangkumi pelbagai komponen penting termasuk pembinaan semula parit, penyusunan semula struktur jalan dan pemindahan utiliti seperti tiang elektrik yang mana kesemuanya dirancang demi menjamin aspek keselamatan maksimum kepada pengguna jalan raya.

“Banyak insiden kemalangan telah direkodkan, malah ada yang tidak dilaporkan secara rasmi tetapi tetap mengundang bahaya kepada penduduk.

"Projek ini adalah respons kepada keperluan mendesak masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Bagi memastikan kelancaran kerja, laluan di kawasan berkenaan akan ditutup secara berjadual dengan jalan alternatif disediakan oleh pihak Majlis Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehubungan itu, Royston turut menyeru agar pengguna jalan raya dari dalam dan luar kawasan Mukah sentiasa berwaspada sepanjang tempoh pemasangan.

Turut hadir dalam majlis penyerahan tapak projek ialah Pengerusi MDDM, Aini Suhaili. -EDISI UKAS