Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat SBC

Disiarkan pada 09 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Dr Yeo Tiong Chia di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kemajuan Sarawak dalam bidang pendokumentasian pengetahuan tradisional dan pelaksanaan mekanisme Akses dan Perkongsian Faedah (Access and Benefit Sharing, ABS) yang berkait rapat dengan sumber biodiversiti serta warisan komuniti.

Dalam sesi tersebut, SBC turut berkongsi usaha mereka dalam memanfaatkan rangka kerja ABS sebagai satu strategi bagi meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui pemerkasaan dan komersialisasi pengetahuan tradisional mereka.

Sarawak merupakan yang pertama di Malaysia berjaya memeterai Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement, BSA) bersama komuniti pribumi.

Perjanjian sulung yang ditandatangani pada tahun 2019 melibatkan tumbuhan unik pengeluar minyak pati iaitu Litsea cubeba atau lebih dikenali sebagai Sarawak Litsea.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut diperkenalkan kepada produk semula jadi keluaran SBC seperti LitSara®️, produk penjagaan diri berasaskan minyak pati yang dihasilkan hasil daripada pelaksanaan BSA pertama, dengan kerjasama masyarakat Penan dan Lun Bawang.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Penyelidikan dan Pembangunan SBC Margarita Naming dan Pegawai Tadbir Korporat SBC Asha Devi Kaushal. -EDISI UKAS