Penambahan Kerusi DUN Tepat Masanya: Datuk Abdullah Saidol

Disiarkan pada 07 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Cadangan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan langkah yang tepat pada masanya.

Langkah ini sekali gus membolehkan para wakil rakyat terus memberi tumpuan lebih khusus terhadap kawasan luar bandar yang luas dan mencabar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, keluasan geografi Sarawak yang setara dengan Semenanjung Malaysia dengan lebih 50 peratus daripadanya terdiri daripada kawasan pedalaman dan luar bandar memerlukan struktur pentadbiran yang lebih efisien serta representasi politik yang bersifat fokus dan setempat.

“Ramai wakil rakyat di Sarawak mewakili kawasan yang saiznya menyamai sebuah negeri di Semenanjung.

“Meskipun kerajaan telah membina banyak jaringan jalan raya dan jambatan, penempatan yang berselerak di kawasan pedalaman tetap memerlukan lebih banyak perhatian dan masa daripada wakil rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025, pada Isnin.

Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah, terdapat kawasan yang masih perlu diakses menggunakan pengangkutan sungai, menggambarkan kesukaran cabaran logistik yang dihadapi oleh wakil rakyat dalam menyantuni masyarakat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa penambahan kerusi DUN akan membolehkan tumpuan pembangunan lebih tersusun dan efektif, khususnya ketika kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan di kawasan luar bandar.

“Penambahan kerusi di Dewan Undangan Sarawak adalah tepat pada masanya, ketika kerajaan GPS sedang fokus membangunkan kawasan penempatan yang berselerak, terutamanya di kawasan pedalaman yang sangat luas,” ujarnya.

Terdahulu, DUN Sarawak meluluskan RUU berkenaan, melibatkan pertambahan 17 kerusi DUN daripada 82 kerusi kepada 99 kerusi selepas bacaan ketiga oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mendapat suara majoriti wakil rakyat.

Langkah ini juga selari dengan matlamat Sarawak untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir, sekaligus menjamin pembangunan yang lebih seimbang dan menyeluruh di seluruh wilayah. -EDISI UKAS