Gedong Menuju Transformasi Pesat, Pembangunan Strategik Mula Dijalankan

Disiarkan pada 07 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kawasan Gedong bakal menyaksikan perubahan landskap yang ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang susulan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak.

Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Dato Sri Naroden Majais berkata, pembangunan tersebut melibatkan pelaksanaan berfasa yang merangkumi pembinaan masjid baharu, Pusat Pentadbiran Bersepadu dan pusat komuniti yang bakal dibangunkan di seberang Gedong.

“Kita jangka dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, bangunan-bangunan ini akan mula kelihatan.
“Buat masa ini, yang nampak hanyalah kerja-kerja awal seperti peluasan tapak dan penimbunan pasir. Tetapi selepas ini, masjid, pusat pentadbiran dan pusat komuniti akan mula naik satu demi satu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, bersama lebih 50 orang delegasi terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Gedong serta wakil-wakil parti dari sayap wanita, pemuda dan bapa.

Dato Sri Naroden menambah, terdapat beberapa pakej pembangunan lain yang juga akan turut mengubah Gedong.

“Selain itu, kita juga akan menyaksikan perubahan dari segi pembinaan lebuhraya dari Serian melalui Munggu Kupi terus ke Isthmus, dan dari Isthmus ke Goebilt melalui Tanjung Embang – empat lorong berserta satu laluan khas untuk Transit Aliran Autonomi (ART). Itu semua kini dalam proses pembinaan, baru bermula.

“Pakej ketiga ialah dari Isthmus ke Samarahan melalui jalan lama – penaiktarafan jalan sedia ada serta pakej keempat, dari Isthmus ke Simunjan,” katanya.

Tambah beliau, Isthmus akan menjadi pusat pertumbuhan baharu yang strategik dan memberi manfaat langsung kepada Gedong.

Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak turut berkongsi perancangan untuk mewujudkan perkhidmatan kargo udara terus dari Kuching ke Singapura, bagi memperluaskan akses pasaran antarabangsa bagi produk tempatan.

“Langkah ini bakal membuka peluang besar kepada usahawan tani dan pemain industri kecil untuk mengeksport hasil mereka ke luar negara secara lebih efisien,” ujar Dato Sri Naroden.

Menurut beliau, kunjungan itu turut bertujuan menyampaikan ucapan takziah kepada Premier Sarawak atas pemergian isteri beliau, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang meninggal dunia pada 23 Jun lalu.

“Ramai dalam kalangan kami tidak berkesempatan menghadiri pengebumian dan majlis tahlil Allahyarhamah. Maka hari ini kami diberi ruang untuk hadir secara bersemuka bagi menyampaikan ucapan takziah kepada Premier Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS