RUU DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 Diluluskan

Disiarkan pada 07 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025, bagi menambah jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 kerusi.

Kelulusan ini diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar selepas menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ia turut dibahaskan oleh 29 ADUN dari blok kerajaan dan dua dari blok pembangkang sebelum diluluskan.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, suara majoriti yang menyokong kelulusan RUU ini membuktikan wakil rakyat di Sarawak inginkan perubahan demi kesejahteraan rakyat.

“DUN ini mesti kekal dinamik, sentiasa responsif terhadap perubahan demografi dan peningkatan permintaan untuk perwakilan yang lebih saksama di Dewan yang mulia ini kerana ini adalah bagi memastikan ia terus mencerminkan suara serta aspirasi semua rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bacaan kali ketiga RUU tersebut sempena Mesyuarat Khas di DUN Sarawak, pada Isnin.

Dato Sri Abdul Karim menegaskan RUU ini bukan sekadar penyempadanan semula kawasan pilihan raya, sebaliknya memastikan suara rakyat dari seluruh Sarawak dibawa ke DUN menerusi ADUN masing-masing, seterusnya merancang serta menjalankan pembangunan mengikut keperluan mereka.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan dua orang ADUN daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menuduh RUU ini bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh Parti Gabungan Sarawak (GPS) dalam pemerintahan di Sarawak.

“GPS atau kerajaan negeri ini tidak mempunyai sebarang kuasa dalam menentukan lokasi penyempadanan bagi 17 kerusi baharu tersebut kerana perkara itu terletak sepenuhnya di bawah prerogatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” tegas beliau lagi. -EDISI UKAS