KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin membidas dakwaan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen dan ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui yang menganggap usul penambahan kerusi sebagai helah politik Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Tegasnya, penambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bukan soal kelebihan politik, sebaliknya satu keperluan asas dalam memastikan sistem demokrasi yang adil dan berfungsi demi keadilan dan suara rakyat.
“Perwakilan bukan satu kemewahan, ia adalah tiang seri demokrasi kerana apabila saiz kawasan terlalu besar, suara rakyat tenggelam dan apabila kawasan bandar tidak diwakili secukupnya, kekecewaan rakyat memuncak, bukan kerana politik, tetapi kerana mereka rasa tidak didengar dan tidak diambil peduli,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025 di DUN Sarawak pada Isnin.
ADUN Kota Sentosa itu turut menyelar dakwaan Ahli Parlimen Stampin, yang mengatakan Ahli Parlimen Sarawak gagal membawa isu penambahan kerusi Parlimen ke Dewan Rakyat meskipun kononnya memperjuangkan representasi yang lebih adil untuk negeri ini.
“Bagaimana mahu tambah kerusi Parlimen jika kita enggan memperluas dan menstruktur semula kerusi DUN yang menjadi asasnya?
“Beliau (ADUN Pending) mahu tambah kerusi Parlimen tetapi menolak penambahan kerusi negeri, ini satu percanggahan nyata,” jelasnya lagi.
Wilfred Yap menambah, dengan 99 kerusi DUN, Sarawak mempunyai asas kukuh untuk menuntut peningkatan perwakilan di peringkat Parlimen, berdasarkan prinsip dua kerusi DUN bagi setiap satu kerusi Parlimen.
Ini katanya boleh membuka jalan kepada Sarawak memperoleh sehingga 49 kerusi Parlimen, berbanding hanya 31 ketika ini. -EDISI UKAS