Tambahan Kerusi DUN Bukan Kepentingan Politik Semata-mata

Disiarkan pada 07 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 bukanlah semata-mata demi kepentingan politik, sebaliknya satu langkah berlandaskan peruntukan undang-undang dan keperluan semasa negeri.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, proses persempadanan semula terakhir telah dibuat pada tahun 2014, dan mengikut peraturan boleh dilakukan semula selepas lapan tahun.

Tambahnya, jika satu kawasan yang sangat luas hanya diwakili seorang ADUN, peruntukan pembangunan akan tertumpu kepada kawasan yang besar, sekali gus menyukarkan penyampaian pembangunan secara menyeluruh.

“Tetapi jika kawasan itu dibahagikan kepada dua, maka dua peruntukan dapat disalurkan kepada kawasan yang lebih kecil. Jelas sekali, langkah ini akan memberi manfaat kepada kawasan DUN berkenaan.

“Janganlah kita hanya melihat jumlah penduduk yang sedikit di sesuatu kawasan kerana selagi kita tidak membangunkan kawasan tersebut, maka sampai bila-bilalah kawasannya tidak akan berkembang dari segi populasi.

“Sebab itulah kita perlu membangunkan sesuatu kawasan terlebih dahulu, barulah populasinya akan berkembang maka penting untuk kita mengambil kira keluasan sesuatu kawasan, dan hujah ini adalah juga ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025 sempena Mesyuarat Khas di DUN Sarawak, pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut menafikan tuduhan ADUN daripada Pending dan Padungan yang mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya mahu menambah kerusi demi kepentingan politik parti itu.

Jelasnya, fokus RUU hanyalah untuk menentukan sama ada diluluskan atau tidak di mana penambahan kerusi DUN tersebut yang menjadi skop perbahasan. -EDISI UKAS