Sarawak Catat Dagangan RM198.7 Bilion, Lebihan RM71.1 Bilion Sepanjang 2024

Posted on 07 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak merekodkan jumlah dagangan sebanyak RM198.7 bilion bagi tahun 2024, meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ini disumbang oleh kenaikan harga komoditi utama seperti minyak sawit mentah, serta permintaan global yang stabil terhadap gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

“Eksport negeri melonjak 3.1 peratus kepada RM134.9 bilion, manakala import turut meningkat 1.9 peratus kepada RM63.8 bilion, sekali gus mencatat lebihan dagangan sebanyak RM71.1 bilion, naik 4.2 peratus berbanding 2023,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Menurutnya, lima destinasi eksport utama Sarawak ialah Jepun, China, Republik Korea, Semenanjung Malaysia dan India, dengan nilai keseluruhan mencecah RM47.3 bilion, iaitu 35.1 peratus daripada jumlah eksport.

Dedahnya, eksport ke Jepun mencatat RM29.1 bilion, naik 1.4 peratus, dengan LNG sebagai penyumbang utama, manakala eksport ke China pula bernilai RM18.2 bilion, namun menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.7 peratus.

“Mengikut sektor, perlombongan menyumbang 58.5 peratus daripada keseluruhan eksport negeri dengan nilai RM79.0 bilion, diikuti produk pertanian yang meningkat 14.1 peratus kepada RM20.0 bilion, didorong oleh permintaan terhadap minyak sawit.

“Import barangan penggunaan turut mencatat peningkatan tertinggi iaitu 16.4 peratus, berjumlah RM13.2 bilion, dipacu oleh permintaan terhadap makanan dan barangan isi rumah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Malaysia diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain, sekali gus membuktikan komitmen negara dalam menyediakan data yang berkualiti dan telus.-EDISI UKAS