KUCHING: Kerajaan Sarawak mengutamakan kelestarian alam sekitar di negeri ini melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ia merupakan langkah penting dalam usaha membangunkan Sarawak yang berdaya tahan, meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan memastikan kesejahteraan rakyat.
"Inilah yang disedari oleh seluruh dunia. Jadi kita ada menandatangani Paris Agreement. Paris Agreement 2015 dimana 195 negara telah bersetuju untuk mengambil langkah mengurangkan pengeluaran karbon melalui berbagai cara.
"Tapi kalau kita lihat, beberapa buah negara saja yang benar-benar mengambil langkah dan benar-benar komited untuk mengurangkan perlepasan karbon.
"Tadi ada slide mengenai SDG, mungkin SDG nombor yang terakhir, SDG yang terakhir iaitu nombor 17, kerjasama sangat penting antara kita semua," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Seminar Sarawak Lestari bertempat di Galeri Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Khamis.
Justeru, katanya seminar tersebut adalah platform untuk membincangkan pendekatan bagi cabaran yang dihadapi oleh komuniti pemuliharaan global.
"Jadi, kami berharap kerjasama SDG ke 17 iaitu kerjasama bukan sahaja diamalkan di antara negara-negara di dunia, tetapi juga di antara negeri-negeri, agensi dan penduduk serta rakyat supaya benar-benar menjalani kehidupan lestari dengan mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh mencemarkan.
"Walaupun sektor pengangkutan hanya menyumbang kurang daripada 15 peratus daripada pencemaran udara, namun yang lebih tinggi adalah industri penerbangan. Itu sangat tinggi. Kedua adalah industri minyak dan gas serta seterusnya adalah industri berat seperti industri simen, aluminium, keluli, baja dan sebagainya," jelas beliau lagi.
Untuk makluman, seminar ini bertujuan memberi kesedaran mengenai SDG bagi mendidik peserta tentang 17 Matlamat Pembangunan Mampan dan menekankan kepentingannya dalam menangani cabaran global.
Hadir sama Pengerusi Lembaga pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datu Dr Rashidah, Pengarah Penerbit i-CATS Madya Dr Abdul Mutalip Abdullah, Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Dr Rita Manurung dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli. -EDISI UKAS