KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pengurusan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kunjungan yang berlangsung pada jam 10.30 pagi itu diketuai oleh Presiden MUBARAK Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Turut hadir, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Amar Diraja Dato’ Sri Diraja Tan Sri (Dr.) Osman Aroff; Naib Presiden, Tan Sri Dato’ Zainal Dahalan, Dato’ Dr. Abdul Latiff Awang, dan Dato’ Sri Ghazali Ibrahim.
Tujuan utama pertemuan adalah bagi mengeratkan hubungan antara institusi kenegaraan dan bekas pemimpin negara serta membincangkan peranan berterusan MUBARAK dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada delegasi MUBARAK atas kesudian berkongsi pandangan dan pengalaman dalam usaha memperkukuh keharmonian dan kemajuan negara, khususnya di Sarawak.
“Kunjungan ini menjadi lambang keakraban antara bekas pemimpin dan institusi kenegaraan, serta platform penting dalam menyatukan pengalaman dan kepimpinan lama demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Turut menyertai rombongan ialah Setiausaha Agung MUBARAK, Dato’ Rosni Zahari, Bendahari Agung, Datuk Abdullah @ Md Khalid Ali, Ketua Penerangan, Dato’ Che Min Che Ahmad, Naib Yang Dipertua MUBARAK Sabah, Datuk Jamilah Sulaiman serta dua pegawai MUBARAK, Norazmawati Nordin dan Nurdini A. Rahman.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar hubungan silaturahim serta kerjasama antara MUBARAK dan Sarawak akan terus diperkukuh demi kemakmuran negara secara keseluruhan.-EDISI UKAS
Kredit Gambar: Astana Negeri Sarawak