RUU DUN Komposisi Keanggotaan 2025 Perkukuh Demokrasi, Wakili Suara Rakyat Secara Saksama

Posted on 07 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 disifatkan sebagai langkah tepat bagi meningkatkan keberkesanan serta keadilan wakil rakyat dalam DUN Sarawak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, RUU ini bukan sekadar soal sempadan pilihan raya, sebaliknya menyentuh teras sistem demokrasi iaitu hak setiap rakyat Sarawak untuk diwakili secara adil dan berkesan.

Beliau menjelaskan, wujud ketidakseimbangan ketara dalam jumlah pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini yang menjejaskan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.

“Beberapa kawasan pilihan raya bandar dan separa bandar mempunyai puluhan ribu pengundi, manakala yang lain, selalunya di kawasan luar bandar, hanya mempunyai sebahagian kecil daripada jumlah itu.

“Namun, kedua-duanya mengembalikan seorang wakil rakyat. Ini mewujudkan penyelewengan dalam rangka kerja demokrasi kita dan bertentangan dengan prinsip asas satu orang, satu undi, satu nilai.

“Melalui RUU ini, kami berhasrat untuk menyelaraskan semula kawasan pilihan raya negeri kami untuk memastikan perwakilan yang lebih saksama dan menegakkan hak demokrasi semua rakyat Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan), 2025 sempena Mesyuarat Khas di DUN Sarawak pada Isnin.

Abdul Yakub menambah, pertambahan penduduk termasuk sekitar 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun yang akan menjadi pengundi automatik apabila mencecah usia 18 tahun turut menambah beban kepada kawasan sedia padat, dan perlu diimbangi melalui penyusunan semula kerusi DUN.

Dalam konteks Sarawak yang luas dan mencabar dari segi geografi, beliau menekankan keperluan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan perkhidmatan wakil rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman serta kawasan bandar yang sedang pesat membangun.

Beliau turut menjelaskan bahawa pertambahan kerusi DUN ini adalah sejajar dengan Perlembagaan Negeri Sarawak di bawah Artikel 14(1)(b) dan 14(2), dan tidak memerlukan pindaan perlembagaan, sebaliknya hanya melibatkan Ordinan Komposisi Keanggotaan DUN [Cap. 70].

“Kali terakhir Ordinan ini dipinda adalah pada 2014, apabila jumlah kerusi DUN meningkat daripada 71 kepada 82. Proses ini sah, konsisten dan telah diamalkan sejak 1985.

“Kali terakhir Ordinan ini dipinda adalah pada tahun 2014, apabila bilangan kerusi DUN meningkat daripada 71 kepada 82 dan ini mengikut tradisi perundangan yang telah lama wujud.

“Pada tahun 1985, kita menambah bilangan kerusi daripada 48 kepada 56; pada tahun 1995, dari 56 kepada 62; pada tahun 2005, daripada 62 kepada 71 dan pada 2014, daripada 71 kepada 82.

“Setiap perubahan dibuat melalui perundangan yang diluluskan oleh Dewan ini — satu proses yang sah dan konsisten dengan Perlembagaan,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS