PADAWAN: Seramai 94 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sira/Krian telah menerima sumbangan sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang menjelang tiba.
Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak yang juga isteri kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang memberitahu, sumbangan ini adalah bagi meringankan beban warga sekolah dalam persediaan menyambut Hari Gawai Dayak.
Menurutnya, sumbangan itu juga adalah untuk menzahirkan keprihatinan MAKSAK Wanita Sarawak dan berkongsi kegembiraan dengan golongan sasar.
Beliau berkata demikian semasa Program Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak sempena Perayaan Hari Gawai 2024 di Kampung Sira di Padawan pada Khamis.
Datin Amar Baduyah menambah, sambutan perayaan Hari Gawai Dayak bukan sahaja merupakan perayaan tetapi adalah untuk mengingatkan kepentingan nilai-nilai seperti perpaduan, kerja keras dan kesyukuran dalam masyarakat.
Penerima sumbangan tersebut terdiri daripada 79 pelajar, 13 guru dan dua kakitangan pejabat sekolah itu.
Dalam majlis sama, beliau juga menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sira/Krian untuk menampung keperluan aktiviti riadah dan sukan sekolah tahunan.
Turut hadir ialah isteri kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datin Daisy Dayus, isteri kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datin Haizan Ibrahim, Pengerusi Biro Kebajikan Datin Sharifah Aminah Wan Mohamad dan tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS